Pada September tahun lepas, Menteri Kewangan Finland, Alexander Stubb menafikan kedudukan negara itu telah terjejas di Eropah dari aspek ekonomi walaupun keadaan semasa menunjukkan pertumbuhan yang perlahan. Walaubagaimanapun, senario industri permainan menunjukkan perkembangan yang sihat walaupun dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi.
Mengikut laporan pada tahun 2015, 179 studio permainan telah diwujudkan pada tahun 2011 sehingga 2014 dan 69 peratus studio permainan tersebut berusia kurang dari 5 tahun. Nilai industri tersebut telah mencecah 1 billion di Finland pada 2014, sedikit peningkatan dari tahun 2013 berbanding hanya 250 juta pada 2012.
Dengan diterajui Supercell dan Rovio, Finland kini telah menempa nama dalam industri permainan. Namun begitu, kesan kepada ekonomi masih lagi kurang memberansangkan.
Pada Januari lepas, Microsoft telah mengambil alih Minecraftedu, permainan berasaskan pendidikan. Tera Ojenpera, bekas Naib Presiden Perkhidmatan Nokia dan pengasas bersama Visionplus berkata Finland telah memulakan langkah lebih awal sebenarnya.
"Asas telah dimulakan lebih 10 tahun yang lalu, bermula dari usaha Nokia dan beberapa pemain kecil yang lain. Ianya telah membina asas pengetahuan yang kini telah bersedia untuk berkembang. Ia bermula dengan Angry Bird yang berjaya mengambil peluang dan kini diikuti Supercell yang juga telah melepasi jangkaan."
"Semenjak permainan ular dilengkapkan kepada telefon Nokia, Finland telah menerajui permainan mudah alih dan ini benar-benar membantu menyemarakkan peralihan telefon mudah alih daripada hanya digunakan semata-mata untuk tujuan komunikasi. Bakat-bakat yang muncul dari Nokia telah membantu memenuhi peluang yang terbuka dari kemunculan telefon pintar." kata Elina Arponen, Pengerusi Persatuan Pembangun Permainan Finland.
Kombinasi bakat dari Nokia dan cuaca sejuk yang memaksa fokus kepada aktiviti dalam rumah dan pejabat juga dikatakan sebagai faktor penyumbang.
"Gabungkan bersama bekas-bekas jurutera Nokia yang berbakat yang dimiliki Finland dan apa yang anda perolehi adalah permainan yang hebat. Juga cuaca sejuk dan gelap semasa musim sejuk menyebabkan anda tidak boleh berbuat perkara lain selain membuat permainan video." kata Lauri Jarvilehto, CEO syarikat permainan pendidikan Lightneer.
Sumber: TechCrunch


Tiada ulasan:
Catat Ulasan